Jan 3, 2016

Menjana kecemerlangan sekolah

Tanggungjawab mendidik anak-anak adalah tanggungjawab bersama antara ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru-guru di sekolah.
Ibu bapa tidak seharusnya menganggap bahawa pendidikan hanya berlaku di sekolah semata-mata tanpa penglibatan ibu bapa di rumah.
Harus juga diingatkan bahawa pendidikan anak-anak bermula sejak di dalam kandungan ibu lagi dan bukannya bermula pada hari pertama anak-anak menjejakkan kaki ke sekolah sama ada memasuki tadika, tabika ataupun prasekolah.
Oleh itu, ibu bapa tidak seharusnya terlalu sibuk dengan kerjaya atau membuat kerja tambahan sehingga menjejaskan pendidikan anak-anak.
Paling utama, usah serahkan bulat-bulat anak-anak kepada pembantu rumah atau orang gaji untuk menjaga mereka.
Sekiranya tidak dikawal dan dipantau dengan teliti, dikhuatiri anak-anak akan mengikut acuan yang diberikan oleh pembantu rumah tersebut. Anak-anak amat memerlukan kasih-sayang sepenuhnya daripada ibu bapa mereka.
Apabila anak-anak tidak mendapat kasih-sayang sepatutnya maka akan berlaku ‘vakum kasih-sayang’ dan kekosongan tersebut akan diisi dengan pelbagai aktiviti seperti ketagihan Internet, merokok, merempit, melepak di tempat awam, penyalahgunaan dadah, dan pelbagai salah laku lain.
Tingkah laku sedemikian perlu segera ditangani oleh ibu bapa kerana sekiranya dibiarkan akan menjejaskan prestasi pelajaran mereka di sekolah.
Walau bagaimanapun, sekiranya anak-anak yang dihantar ke sekolah mempunyai kasih sayang yang secukupnya diberikan oleh ibu bapa, sudah pasti guru-guru dapat menjalankan peranan dan tanggungjawab mereka dengan cemerlang.
Guru-guru tidak pening kepala untuk menyelesaikan masalah disiplin para pelajar justeru dapat menjalankan pengajaran dan pembelajaran dengan sempurna.
Kepercayaan ibu bapa kepada pihak sekolah wajar dibalas oleh warga guru dengan memberikan ilmu pengetahuan secukupnya bagi membentuk generasi masa depan yang cemerlang.
Ibu bapa pula perlu mempunyai kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya kepada pihak guru. Sebarang konflik dan prasangka yang wujud perlu segera ditangani dengan bantuan PIBG.
Komunikasi dan dialog permuafakatan perlu diadakan segera apabila berlaku sebarang konflik kerana sekiranya dibiarkan akan menyebabkan prestasi sekolah berkenaan akan menurun.
Pada masa yang sama, sebarang konflik tidak perlu digembar-gemburkan di media massa yang secara tidak langsung akan menjatuhkan imej guru.
Permuafakatan, penglibatan dan saling mempercayai antara ibu bapa, guru dan PIBG adalah sangat penting dalam proses pendidikan.
Kesedaran ibu bapa tentang kesukaran para guru mendidik anak-anak mereka untuk menjadi insan cemerlang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek akan mewujudkan suasana harmoni.
Para guru akan melihat pelajar sebagai anak sendiri yang perlu ditatang sepenuhnya di samping akan mengenakan sedikit denda mengikut peraturan yang ditetapkan jika mereka melakukan kesalahan.
Namun, ibu bapa di rumah jangan cepat naik angin sekiranya anak-anak mereka didenda. Sesungguhnya jika persefahaman terjalin antara ibu bapa, guru dan PIBG, pasti kecemerlangan sekolah akan tercapai.