Jan 15, 2016

Apa itu 1BestariNET?






1BestariNet adalah projek yang diinisiatifkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications. Di bawah projek ini, sebanyak 10,000 buah sekolah rendah dan menengah di Malaysia akan dilengkapkan dengan akses internet berkelajuan tinggi 4G dan platform pembelajaran maya yang menyediakan sambungan Internet berkelajuan tinggi serta akses kepada Penyelesaian Pembelajaran Bersepadu.

Di bawah projek 1BestariNet, sekolah-sekolah akan dilengkapkan dengan penyelesaian bersepadu yang membolehkan pengajaran, pembelajaran, kolaborasi dan pentadbiran dijalankan melalui Persekitaran Pembelajaran Maya (Frog VLE) yang berasaskan internet, yang boleh diakses di sekolah atau di mana juga, dengan adanya sambungan Internet (Internet Yes 4G).

Bayangkan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE) sebagai intranet, bilik darjah online dan ruang sosial untuk sekolah, semuanya dalam di bawah satu bumbung. Ia adalah sistem pembelajaran berasaskan laman web yang menyerupai pendidikan dunia sebenar dengan menyatukan konsep pendidikan konvensional. Sebagai contoh, guru-guru boleh memberi tugasan, ujian dan markah secara maya, sementara para pelajar boleh menghantar kerja rumah mereka dan menyemak markah yang diperolehi melalui Frog VLE. Ibu bapa pula boleh berkomunikasi dengan guru-guru dan pihak pentadbir sekolah boleh menyusun kalendar sekolah dan memaparkan notis melalui Internet. Frog VLE boleh diakses di mana jua, pada bila-bila masa dengan adanya sambungan Internet.

Frog VLE adalah platform pembelajaran maya yang telah memenangi anugerah dan mudah digunakan, selain direka khas untuk pengguna. Dibangunkan di United Kingdom dengan rekod pencapaian selama 13 tahun, Frog memfokuskan kepada usaha untuk memudahkan kehidupan guru dan pelajar sekaligus untuk mempertingkatkan teknik pengajaran dan pembelajaran. Sebagai tambahan, Frog VLE juga disepadukan dengan rakan kandungan dan alat pendidikan lain yang berkuasa, termasuklah Google Apps untuk Pendidikan dan Khan Academy, untuk memajukan lagi teknik pengajaran dan pembelajaran. FrogAsia, penyedia penyelesaian Frog VLE, turut bekerjasama rapat dengan golongan pendidik tempatan dan organisasi-organisasi pendidikan untuk membekalkan sistem pembelajaran bertaraf dunia yang releven dengan rantau Asia. Selain teknologi, penekanan turut diberi kepada usaha untuk melengkapkan dan membimbing sekolah-sekolah tentang penggunaan Frog sebagai satu peralatan yang boleh menambah-baik sekolah secara keseluruhannya.Ketahui lebih lanjut bagaimana Frog boleh mempertingkatkan pembelajaran dengan menonton video-video ini!


Jan 11, 2016

Jan 3, 2016

Menjana kecemerlangan sekolah

Tanggungjawab mendidik anak-anak adalah tanggungjawab bersama antara ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru-guru di sekolah.
Ibu bapa tidak seharusnya menganggap bahawa pendidikan hanya berlaku di sekolah semata-mata tanpa penglibatan ibu bapa di rumah.
Harus juga diingatkan bahawa pendidikan anak-anak bermula sejak di dalam kandungan ibu lagi dan bukannya bermula pada hari pertama anak-anak menjejakkan kaki ke sekolah sama ada memasuki tadika, tabika ataupun prasekolah.
Oleh itu, ibu bapa tidak seharusnya terlalu sibuk dengan kerjaya atau membuat kerja tambahan sehingga menjejaskan pendidikan anak-anak.
Paling utama, usah serahkan bulat-bulat anak-anak kepada pembantu rumah atau orang gaji untuk menjaga mereka.
Sekiranya tidak dikawal dan dipantau dengan teliti, dikhuatiri anak-anak akan mengikut acuan yang diberikan oleh pembantu rumah tersebut. Anak-anak amat memerlukan kasih-sayang sepenuhnya daripada ibu bapa mereka.
Apabila anak-anak tidak mendapat kasih-sayang sepatutnya maka akan berlaku ‘vakum kasih-sayang’ dan kekosongan tersebut akan diisi dengan pelbagai aktiviti seperti ketagihan Internet, merokok, merempit, melepak di tempat awam, penyalahgunaan dadah, dan pelbagai salah laku lain.
Tingkah laku sedemikian perlu segera ditangani oleh ibu bapa kerana sekiranya dibiarkan akan menjejaskan prestasi pelajaran mereka di sekolah.
Walau bagaimanapun, sekiranya anak-anak yang dihantar ke sekolah mempunyai kasih sayang yang secukupnya diberikan oleh ibu bapa, sudah pasti guru-guru dapat menjalankan peranan dan tanggungjawab mereka dengan cemerlang.
Guru-guru tidak pening kepala untuk menyelesaikan masalah disiplin para pelajar justeru dapat menjalankan pengajaran dan pembelajaran dengan sempurna.
Kepercayaan ibu bapa kepada pihak sekolah wajar dibalas oleh warga guru dengan memberikan ilmu pengetahuan secukupnya bagi membentuk generasi masa depan yang cemerlang.
Ibu bapa pula perlu mempunyai kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya kepada pihak guru. Sebarang konflik dan prasangka yang wujud perlu segera ditangani dengan bantuan PIBG.
Komunikasi dan dialog permuafakatan perlu diadakan segera apabila berlaku sebarang konflik kerana sekiranya dibiarkan akan menyebabkan prestasi sekolah berkenaan akan menurun.
Pada masa yang sama, sebarang konflik tidak perlu digembar-gemburkan di media massa yang secara tidak langsung akan menjatuhkan imej guru.
Permuafakatan, penglibatan dan saling mempercayai antara ibu bapa, guru dan PIBG adalah sangat penting dalam proses pendidikan.
Kesedaran ibu bapa tentang kesukaran para guru mendidik anak-anak mereka untuk menjadi insan cemerlang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek akan mewujudkan suasana harmoni.
Para guru akan melihat pelajar sebagai anak sendiri yang perlu ditatang sepenuhnya di samping akan mengenakan sedikit denda mengikut peraturan yang ditetapkan jika mereka melakukan kesalahan.
Namun, ibu bapa di rumah jangan cepat naik angin sekiranya anak-anak mereka didenda. Sesungguhnya jika persefahaman terjalin antara ibu bapa, guru dan PIBG, pasti kecemerlangan sekolah akan tercapai.